Subscribe:

Sunday 4 September 2011

Keretapi dan Bas Merupakan Pengangkutan Utama di Jerman


Keretapi dan bas merupakan pengangkutan awam utama di Jerman. Perkhidmatan ini amat popular dikalangan golongan muda seperti golongan pelajar, pekerja dan pelancong yang datang ke negara Jerman ini. Hanya mereka yang lebih berkemampuan atau mereka yang duduk di kawasan terpencil akan mempunyai kenderaan sendiri.
Hal ini adalah kerana penggunaan perkhidmatan awam ini lebih menjimatkan berbanding penggunaan kenderaan sendiri. Selain itu,  perkhidmatannya yang efisyen dan tepat pada masa (on-time) menggalakkan lagi perkhidmatan ini digunakan oleh semua golongan masyarakat.




Bagi golongan atasan atau ahli perniagaan yang lebih berkemampuan dan mengejar masa, mereka boleh memilih perkhidmatan keretapi laju (Inter City Express (ICE)) yang mampu memendekkan sehingga 75% tempoh perjalanan berbanding keretapi biasa. Pelbagai jenis tiket turut ditawarkan seperti tiket individu (sehala dan dua hala) dan tiket berkumpulan (tidak lebih dari 5 orang) yang pasti lebih menjimatkan. Tiket-tiket tersebut adalah seperti berikut:
 Tiket untuk perjalanan sehala,
  1. Tiket perjalanan pergi dan balik dari satu tempat ke satu tempat yang lain
  2. Tiket individu harian dari jam 9 (tiket ini boleh digunakan seberapa banyak kali yang  anda mahu dalam masa sehari, dari jam 9 pagi sehingga 3 pagi hari esoknya)
  3.  Tiket harian (untuk perjalanan 24 jam)
Keistimewaan juga ditawarkan kepada pelajar-pelajar dari peringkat sekolah rendah, menengah sehingga ke peringkat universiti. Mereka ditawarkan harga tiket yang jauh lebih murah berbanding tiket orang dewasa. Tiket bulanan ditawarkan bagi semua pelajar sekolah dan tiket semester (6bulan) bagi semua pelajar universiti. Tiket ini adalah wajib dibayarkan oleh setiap pelajar sebelum sesi persekolahan bermula. Walau bagaimanapun keluasan penggunaan tiket ini terhad kepada kawasan sekitar sekolah atau universiti pelajar. Biasanya keluasan kawasan ini bermula dari beberapa daerah sehingga merangkumi seluruh negeri bergantung kepada perjanjian antara pihak universiti dengan pihak pengangkutan awam. Oleh itu, para pelajar boleh mengambil peluang untuk berjalan ke seluruh negeri dengan mengunakan perkhidmatan bas dan keretapi pada bila-bila masa sahaja.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kelicinan perkhidmatan awam di Jerman ini. Bagi perkhidmatan bas mungkin kerana kurangnya penggunaan kenderaan lain seperti kereta dan motorsikal jika dibandingkan dengan kenderaan persendirian pada jalan-jalan utama di Malaysia. Selain itu, sistem jadual perjalanan bas dan keretapi juga cukup sistematik dan saling berhubung antara satu sama lain. Sebagai contoh, jika anda dari Frankfurt ke Aachen, selain daripada menaiki keretapi laju yang mana harganya tiketnya adalah mahal, anda juga boleh menaiki keretapi biasa yang berhenti disetiap stesen. Apabila sampai ke destinasi keretapi itu, anda perlu menukar keretapi atau bas yang lain ke destinasi seterusnya. Setiap jadual lengkap pertukaran ini boleh anda dapatkan di website atau pun di mesin tiket yang disediakan secara percuma.
Website bagi sistem pengangkutan utama di Jerman adalah seperti di bawah ini.
Perkhidmatan bas juga turut menyediakan website mereka sendiri untuk pengguna mendapatkan jadual secara online.


Mesin Tiket untuk membeli tiket perjalanan bagi negeri yang sama. Belian adalah secara tunai.


Mesin tiket di atas adalah untuk membeli tiket bagi perjalanan bagi negeri yang sama dan perjalanan antara negeri yang berlainan.

Terdapat pelbagai pilihan bahasa seperti   Bahasa Jerman, Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis dan Bahasa Turkey bagi mesin tiket antara negeri, (mesin tiket 2). Tiket-tiket boleh dibeli dengan menggunakan kad bank dari bank german ataupun visa kad antarabangsa.

No comments:

Post a Comment